Kuasa Raja perlu diluaskan
Harakahdaily | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Sun | Nov 30, 08 | 9:04:15 am MYT
SHAH ALAM, 30 Nov (Hrkh) - Anggota Parlimen Pakatan Rakyat harus mengusulkan supaya Raja-raja Melayu diberi peranan lebih besar dalam penggubalan dasar negara.
Demikian kata Ketua Wanita KeADILan, Zuraida Kamaruddin yang mengulas sokongan kepada cadangan presiden parti itu Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam ketika menyampaikan ucapan dasarnya dalam kongres nasional kelima KeADILan di Stadium Malawati dekat sini.
Wan Azizah dalam ucapan dasarnya berkata, beliau ingin mengembalikan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk meluluskan sesuatu rang undang-undang atau pindaan akta seperti sebelum pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1983.
Pindaan itu, seperti diamalkan sekarang, memberikan tempoh selama 30 hari kepada Agong untuk meluluskan sesuatu rang undang-undang atau, jika baginda tidak memperkenan, secara automatik rang tersebut diluluskan.
Zuraida berkata rakyat ingin Raja-raja dilihat sebagai ketua kepada semua kaum, bukan semata-mata ketua orang Melayu.
Mengulas bidang penglibatan istana yang patut diperkukuhkah, Zuraida berkata penguasa tertinggi dalam negara itu patut campur tangan memutuskan dalam isu kelemahan kaum seperti tuntutan Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf).
Naib Presiden KeADILan Dr Lee Boon Chye pula berkata Raja-raja perlu diberi peluang memainkan peranan lebih besar sebagai agen semak dan imbang terhadap keputusan yang dibuat pihak eksekutif.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas cadangan Dr Wan Azizah secara terperinci sama ada bermaksud kekebalan daripada aspek undang-undang atau proses meluluskan undang-undang.
Dr Lee berkata, isu sebenar ini perlu dibincangkan lebih lanjut.
Sewaktu membahaskan ucapan dasar presiden, seorang perwakilan meminta status Raja-raja Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sekarang dikekal dan tidak dipinda.
"Mengenai Raja-raja, kita minta apa yang disebut dalam perlembagaan dikekalkan. Saya juga meminta kebijaksanaan pemimpin-pemimpin dalam hal berkaitan institusi raja-raja.
"Status quo seperti yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan yang termaktub pada hari ini (perlu) dikekalkan. Ini penting.
"Kita minta dipertahankan, bukan dipinda," kata perwakilan Pahang, Ahmad Nizam Abdul Hamid.
Ditemui media selepas ucapannya itu, Ahmad Nizam yang juga peguam kepada imam Ramlang Porigi yang menjadi saksi sumpah laknat isu liwat Mohd Saiful Bukhari Azlan berkata:
"Perlembagaan sedia ada sudah cukup untuk mempertahankan kedaulatan dan maruah Raja-raja Melayu."/wann _
No comments:
Post a Comment